Rabu, 16 Disember 2009

MY HAJJ JOURNEY PART II - MADINAH

LABBAIKALLAH HUMMA LAB'BAIK. LAIBAKALA SYARIKALA KALA BAIK. INNAL HAMDA. WANNIQMATA. LAKA WALMULK, LA SYARIKALAH.
.
Assalammualaikum wbkt,
.
Perjalanan Aisyah dari London-Cairo-Madinah sungguh memenatkan. Apabila sampai di Cairo, keadaan di lapangan terbang penuh sesak dengan jemaah dari serata dunia yang ingin lari dari kesibukan lapangan terbang Jeddah. Maka, kami masuk ke Arab Saudi melalui Madinah bagi mengelakkan kesesakan berganda di Jeddah. Sampai sahaja di lapangan terbang Cairo, jemaah beratur panjang untuk pemeriksaan. Kebetulan pada waktu tengah malam itu, sistem komputer di airport berkenaan telah rosak. Jadi, pemeriksaan di buat secara manual. Dengan faktor waktu tengah malam, pemeriksaan secara manual dan kesesakan manusia yang ramai- memang antara ujian yang meletihkan. Aisyah tersentuh melihat beberapa Jemaah yang tidak suka membuang masa, setiap masa di isi dengan membaca al-qur'an, tidak kira sama ada sewaktu pemeriksaan di buat atau sewaktu menunggu waktu pelepasan, mereka sibuk dengan al-qur'an masing-masing. Mereka membaca al-qur'an di mana-mana. Di celah-celah orang ramai, mereka buat hal sendiri untuk tidak membuang masa dan lebih memfokus dan mengalihkan konsentrasi mereka untuk tujuan ibadah haji yang bakal di lalui. Aisyah dan suami tak banyak bercakap waktu dalam perjalanan kerana masing-masing terlalu seronok/ terlalu memikirkan bagaimana agaknya keadaan di Mekah & Madinah dan masing-masing 'suspen' dengan ibadah haji yang belum di lakukan lagi.
.
LABBAIKKALAH HUMMA LABBAIK!.
.
Jemaah dari kumpulan lain ada yang mengalami masalah. Mereka terpaksa transit di Cairo dalam tempoh yang lama kerana berlaku masalah kelewatan/ jadual perjalanan. Kasihan mereka, kerana terpaksa tunggu lama di Airport yang tidak selesa itu. Itu adalah ujian mereka yang perlu di hadapi dan insyaAllah mereka akan diganjari dengan pahala atas kesabaran mereka.
.
Pergi haji bukan untuk bersenang-senang. Pergi haji bukan untuk berseronok-seronok. Pergi haji adalah jalan untuk bertamu ke rumah Allah dan kita ada misi yang besar yang perlu di laksanakan. Maka, setiap ujian yang mendatang perlu di hadapi dengan sabar dan yakin bahawa pertolongan Allah itu dekat.
.
Sampai di Madinah, pada waktu subuh, terus menunaikan solat subuh dan tiba di hotel Riyadh yang berdekatan dengan Masjid Nabawi. Bilik hotel ini Aisyah kongsi dengan tiga orang lagi Jemaah. Hotel ini bolehlah di klassifikasikan sebagai bertaraf 3 bintang ataupun 2 bintang. Biliknya bersih, ada penyaman udara dan bilik airnya juga bersih. Aisyah berada di Madinah selama 5 hari sebelum bertolak ke Mekah.
.
Bas yang membawa kami ke Hotel Riyadh melalui Masjid Nabawi yang tersergam indah. Tak dapat di bayangkan bagaimana perasaan kali pertama melihat masjid itu. Air mata memang tidak dapat di tahan lagi. Tersentuh hati terkenangkan Rasulullah saw dan para sahabat yang di semadikan di Masjid Nabawi dan perkuburan Bakek. Rasa sayu menikam hati dan perasaan apabila merasakan diri berada sangat dekat dengan Rasulullah saw. Rasa tak sabar untuk menjejakkan kaki di Masjid Nabawi dan beribadat di dalamnya.
.
Selepas berehat dan membersihkan diri, Aisyah dan suami pergi ke Masjid Naabawi untuk solat Zohor. Walaupun waktu masih awal (kira-kira 1 jam sebelum waktu solat zohor), masjid telah penuh dengan manusia yang bersimpang siur. Masjid ini sangat luas, dan sangat cantik. Untuk berjalan mengelilingi masjid ini, rasanya memerlukan masa hampir 20 minit. Di masjid inilah juga terdapatnya Raudhah - yang merupakan masjid asal yang didirikan oleh Nabi Muhammad saw sewaktu sampai ke Madinah.
.
Pada hari ke 2 Aisyah di Madinah, Aisyah berpeluang untuk mengunjungi Raudhah ini. Di sini lah terletaknya makam Nabi saw. dan juga sahabatnya Saydina Abu Bakar dan Saydina Umar. Untuk masuk ke Raudhah, ada waktu yang ditetapkan iaitu selepas solat subuh, selepas zohor dan selepas Isya. Bagi yang berhasrat untuk masuk ke Raudhah, pergi ke pintu Saydina Umar atau Saydina Ali atau Saydina Uthman dan berjalan masuk hingga ke bahagian saf hadapan. Setiap yang ingin masuk akan di asing-asingkan ikut negara masing-masing (Mesir, Afrika, Bahasa Melayu (Malaysia, Indonesia, Singapura), Turki, dan lain-lain. Polis wanita akan mengaturkan perjalanan ke Raudhah ini mengikut kumpulan-kumpulan tadi.
.
Di Madinah, Aisyah lihat ramai orang yang datang beribadat di sini tidak kira waktu. Masjid sentiasa penuh dengan manusia walaupun bukan dalam waktu solat. Ada yang datang dari Turki, Pakistan, Amerika, Kanada, Afrika, Bangladesh, Tongo dan sebagainya. Mereka singgah untuk beberapa hari di Madinah sebelum bertolak ke Mekah untuk menunaikan haji. Dalam pengamatan Aisyah, Aisyah boleh kategorikan mereka yang datang ke sini kepada beberapa golongan.
.
Aisyah lihat ada sekumpulan manusia yang berpakaian warna-warni, berkulit gelap, khusyuk bersolat dan menghabiskan masa untuk beribadat tak kira waktu di dalam Masjid Nabawi. Mereka ini nampaknya bukan orang senang, dan hanya makan roti untuk mengalas perut. Mungkin mereka telah bersusah payah mengumpul wang untuk sampai ke sini sepanjag usia mereka. Kaki mereka pecah-pecah, dan keadaan kulit mereka seperti orang yang bekerja di ladang / kerja berat di negara asal mereka. Kadang-kadang Aisyah terfikir, mulia sungguh niat hati mereka ini. Masakan tidak, mereka ini mungkin bekerja sebagai petani di negara mereka.
.
Dengan pendapatan yang cukup makan, mereka sanggup menyimpan wang sedikit demi sedikit dan mengenepikan nafsu keinginan mereka semata-mata untuk mencukupkan wang simpanan mereka yang membolehkan mereka untuk menunaikan haji. Mungkin nilai RM12,000 itu tidaklah besar bagi seorang yang berkemampuan, tapi nilai itu sangat besar bagi orang yang kais pagi makan pagi. Mereka yang miskin dan susah ini tidak pernah sampai ke tempat percutian idaman, apatah lagi merasa hidup senang. Mereka berpakaian ala kadar dan ada yang tidur di kaki lima masjid. Jadi, apabila mereka sampai di tempat mulia ini, mereka tahu betapa sukarnya mereka untuk sampai ke sini dan tidak mahu melepaskan peluang untuk beribadat dengan sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah, walaupun kos pergi haji itu bukanlah murah (pada orang yang tak berduit macam Aisyah), tapi, mereka-mereka mengutamakan dahulu apa yang Allah telah perintahkan. Dan Allah yang maha berkuasa telah mencukupkan perbelanjaan mereka.
.
Sekumpulan manusia yang Aisyah rasa terdiri dari golongan kaya, memenuhi kedai-kedai yang menjual bermacam-macam barang di kota Madinah ini. Kedai-kedai emas, pakaian, kurma, dan aneka barangan mengelilingi masjid Nabawi ini umpama semut mengerumuni gula. Sangat banyak. Kebanyakkan mereka Aisyah rasa mungkin dari golongan yang berduit. Kos RM12,000 itu hanyalah kecil pada mereka. Mereka ada banyak wang lagi yang boleh di belanjakan. Dan wang itu bukan lah masalah. Jadi, setelah selesai sembahyang, banyak masa di habiskan untuk membeli belah. Ditambah pula dengan khabar angin bahawa "barang di Madinah lebih murah dan lebih berkualiti dari di Mekah", maka ramai yang tidak mahu lepaskan peluang untuk berbelanja dengan harga rendah.
.
Ada segolongan manusia lagi yang pergi haji beberapa kali. Ada yang pergi haji buat kali ke 3 dan ke 4. Mungkin dia berpendapat, melaburkan wang untuk pergi haji itu lebih baik dari pada di belanjakan atas perkara-perkara yang tak baik. Waulahualam. Mamang pun tarikan untuk datang lagi ke Baitullah ini sangat kuat kerana 'ketenangan' dan 'keseronokan' yang di rasai di tempat suci ini tidak sama dengan tempat lain, dan menyebabkan orang yang pernah pergi berhasrat untuk datang lagi.
.
Ada yang sanggup membayar hingga hampir RM50,000 hanya semata-mana untuk mendapat keselesaan dengan memilih pakej yang mahal. Itu terpulanglah kepada hak individu masing-masing. Tapi, alangkah eloknya kalau orang yang pergi haji sampai berkali-kali itu menaja orang-orang lain untuk pergi haji, jika dia berkemampuan. Begitu juga dengan orang kaya yang sanggup membayar mahal agar semua benda jadi selesa, (hotel selesa, makan selesa, bas selesa, layanan selesa etc), tidaklah bersalahan jika dia pergi dengan pakej yang sederhana sahaja dan baki wangnya di gunakan untuk menaja orang lain yang belum pergi haji/ tidak berkemampuan untuk pergi haji. Belum tentu kita pergi haji berkali-kali dan haji kita mabrur. Mungkin juga jika kita menaja orang lain untuk pergi haji, haji orang yang di taja tersebut mendapat haji mabrur dan kita pun boleh tumpang sekaki.
.
Di manakah agaknya nilai haji kita jika kita rasa bangga pergi haji ikut pakej mahal dan akhirnya kita terjatuh ke lembah riak dan kesombongan? Ibadah haji adalah ibadah yang Allah 'design' untuk menjadikan semua orang sama rata. Walaupun ada berpasang-pasang baju di almari, semua lelaki wajib pakai kain ihram yang tidak berjahit. Itu maknanya, Allah maha adil dan 'treat' semua tetamunya sama rata. Tak kira la samaada mungkin ada di kalangan tetamunya seorang 'distinguished accounting professor' ataupun 'cacai yang hina'.
.
Aisyah berkenalan dengan ramai manusia dari pelbagai negara sewaktu menunggu waktu solat. Jika hendak solat di dalam masjid, kena datang awal. Ada tiga orang tua dari perkampungan di Bangladesh; Aisyah sangat seronok berbual dengan orang-orang tua ini walaupun bercakap macam ayam dengan itik. Mana taknya, kami bercakap dalam bahasa yang berbeza. Akhirnya, kena guna bahasa isyarat. Tapi kami sangat gembira.
.
Ada yang datang dari Senegal, berkulit hitam dan berpakaian warna-warni. Ada yang datang dari Canada dan California. Ada yang datang dari Sudan, Turki, Indonesia, China, Jerman dan Russia. Aisyah rasa sangat gembira dapat berukhuwah dengan masyarakat Islam dari pelbagai negara. Masing-masing rasa berdebar dan seronok untuk menunaikan ibadah haji.
.
Di Madinah ini, tiada ritual yang khusus. Hanya ziarah makam nabi di Raudhah dan menghabiskan masa bersolat dan beribadat di Masjid Nabawi. Ada yang kata beribadat di Masjid Nabawi ini pahalanya berganda-ganda jika di bandingkan dengan masjid-masjid lain. Waulahualam. Namun begitu, roh (semangat) beribadat di Masjid Nabawi dan Masjidil haram sangat berbeza dengan semangat beribadat di tempat lain. Air zam-zam disediakan di merata tempat di sekitar masjid. Rasanya sungguh sedap dan segar. Itu lah air mineral tersedap yang Aisyah pernah rasa sepanjang hidup Aisyah.
.
Ada yang kata, tandas di masjid-masjid ini bersih dan tidak berbau walau beribu-ribu orang menggunakannya. Aisyah mendapati telahan itu betul. Tandas di masjid ini sangat bersih dan selesa. Tandas dua tingkat ini (underground) di kawal oleh polis wanita setiap masa.
.
Apabila lapar, Aisyah dan suami pergi ke kedai makan berdekatan dengan masjid untuk mendapatkan makanan. Syukur juga banyak restoren Indonesia yang menjual makanan ala Malaysia. Pada hari ke 2 Aisyah di sini, Aisyah di beri buah kurma segar, yogurt dan roti di Masjid Nabawi. Kurma segar itu sungguh sedap dan lain dengan kurma yang kering yang biasa kita jumpa. Saiznya separuh ibu jari dan warnanya kekuningan/ 'dull gold'. Kurma segar ini rasanya tidak perlampau manis dan ada rasa sedikit kelat; tetapi sangat sedap.
.
Pada hari ke tiga di Madinah, kami di bawa ke Masjid Qiblatain, ke bukit Uhud dan juga ke Tujuh Masjid. Bukit Uhud ini warnanya kemerahan, dan tidak sama dengan warna bukit-bukit lain yang lebih kecoklatan. Bukit Uhud ini lah menjadi tanda kekalahan dalam perang Uhud akibat dari mengabaikan kata-kata/ arahan Nabi Muhammad saw. Di kaki bukit Uhud ini bersemadi Saydina Hamzah dan juga 72 para sahabat yang meninggal dunia dalam peperangan Uhud ini.
.
Akhirnya, masa yang ditunggu-tunggu telah tiba. Tempoh berada di Madinah telah tamat, bermakna perjalanan ke Mekah bersambung semula. Pada hari terakhir di Madinah, Aisyah bersiap-siap mengemas barang dan menunggu bas di lobi hotel bersama suami. Setiap ahli jemaah lelaki di kehendaki memakai ihram. Disebabkan kami masuk ke Mekah melalui Madinah, maka dalam perjalanan ke Mekah nanti kami akan singgah di ZulHulaifah di mana terdapat sebuah masjid besar yang di namakan Bir'Ali. Di Masjid Bir'Ali ini, jemaah haji akan berniat ihram dan bersembahyang sunat ihram. Maka bermula lah pantang larang ihram bagi setiap jemaah haji.
.
Masjid Bir'Ali ini tidak jauh dari kota Madinah, lebih kurang 10 minit dari hotel penginapan kami. Masjid ini di penuhi dengan bas-bas yang menuju ke Mekah yang membawa jemaah haji dari Madinah. Jemaah haji berpusu-pusu bersolat sunat ihram di masjid ini. Selesai bersolat sunat ihram, jemaah haji kumpulan kami menaiki bas semula untuk ke Mekah. Talbiah bergema di dalam bas. Jemaah haji lelaki masing-masing melaungkan talbiah dengan kuat sepanjang perjalanan. Kami rasa sungguh bersemangat untuk ke Mekah; menuju ke Baitullah.
.
LABBAIKALLAH HUMMA LABBAIK!
.
Rasa sayu menyelubungi hati dan perasaan. Tak kira lelaki atau wanita, air mata bercucuran mengenangkan sayunya hati hendak ke Baitullah. Jarak antara Madinah dan Mekah adalah sejauh kira-kira 500km. Entah kenapa, perjalanan yang jauh dengan menaiki bas itu terasa sungguh singkat. Ada banyak check point di dalam perjalanan antara Madinah dan Mekah. Tapi itu semua tidak melunturkan semangat kami semua.
.
LABBAIKALLAH HUMMA LABBAIK!
.

3 ulasan:

Cikgu Nana berkata...

Aisyah....
Semangat utk menunaikan haji makin mencanak2...doakan yana, suami, emak, ayah dan ibu juga akan sampai ke sana bagi menunaikan ibadah haji. Amin....

Aisyah berkata...

InsyaAllah, semoga yana & family dan semua umat islam di beri kemudahan oleh Allah untuk sampai ke Baitulah.

Qimy berkata...

mana sambungan cita selanjutnya..x sabo nak baca ni heheh..

KOLEKSI RESEPI