.
Bas kami sampai di Mekah pada waktu subuh. Kira-kira jam 3 pagi. Bas menuju ke pejabat Mutawif untuk menyerahkan pasport kami. Semua pasport di simpan oleh Mutawif (wakil haji yang di lantik oleh Kerajaan Arab Saudi). Jadi, semua yang hadir ke situ (kecuali orang Arab Saudi) dikehendaki menyerahkan pasport untuk di simpan di pejabat Mutawif masing-masing atas alasan keselamatan dan kawalan jemaah haji. Kemudian kami di bawa ke hotel kami yang terletak di Aziziyah, kira-kira 10 minit naik kenderaan dari masjidil haram. Hotel kami di Aziziyah ini adalah terletak di dalam kawasan Mina, yang dekat dengan tempat melontar Jamrah.
.
Bilik hotel di Aziziyah ini boleh lah di katakan 1 bintang sahaja. Aisyah berkongsi bilik ini dengan 4 orang rakan. Ada bilik air yang sederhana mutunya dan juga penghawa dingin. Dari bilik bertaraf 3 bintang di Madinah, turun ke bilik hotel bertaraf 1 bintang di Mekah. Apa-apa pun, Aisyah bersyukur dengan bilik tidur dan kemudahan yang ada. Dalam keadaan jutaan manusia di Mekah, untuk mendapat keselesaan seperti di rumah sendiri adalah mustahil. Aisyah terima seadanya dan berdoa agar Allah beri Aisyah kesihatan untuk laksanakan ibadah haji dengan baik.
.
Aisyah sampai di hotel dan membersihkan diri. Hotel Aisyah berdekatan dengan Masjid Saydina Hamzah dan bersebelahan dengan taman permainan. Ada kedai runcit berdekatan kedai, jadi mudah bagi kami untuk dapatkan susu dan roti. Setelah bersiap, Aisyah dan suami pergi ke jalan utama yang berdekatan dengan hotel. Kami masih tidak tahu direction untuk ke Masjidil haram, jadi, kami pergi dengan kereta sapu dan teksi yang berkeliaran di sana-sini. Kosnya kira-kira 5-10 riyal setiap orang. Kalau berjalan kaki, memang agak memenatkan dan mengambil masa kira-kira 1 jam. Tiada masa untuk membuat pilihan, gunakan sahaja apa kenderaan yang datang di depan mata. Kebanyakkan kereta sapu sangat usang. Kita sudah tidak melihat kereta seteruk itu di Malaysia. Tapi mereka masih gunakan lagi. Hanya ada 1 highway yang dibuat untuk menuju dari Aziziyah ke Masjidil Haram. Tiada laluan alternatif lain. Kawasan sekeliling penuh dengan batu-batuan gunung, jadi bukan mudah untuk membuat jalan short cut.
.
Wanita tidak di benarkan memandu di negara ini. Jadi yang menguasai jalanraya semuanya adalah lelaki. Mereka memandu dalam keadaan yang merbahayakan. Mereka membunyikan hon setiap satu saat. Mereka bertengkar di jalan raya. Yang memandu motorsikal pula merempit bagai tak sayang nyawa. Waktu di jalan raya, nafas sungguh menyesakkan. Kerana tidak pernah megalami saat mencemaskan seperti itu, di mana ratusan kenderaan berpusu-pusu di jalan yang kecil, dengan sistem parking yang langsung tidak sistematik, situasi begitu sangat menakutkan. Bas, lori, kereta dan van masing-masing berlumba-lumba. Semua kenderaan kemek-kemek belaka. Tak kira kenderaan baru atau kenderaan lama. Dalam waktu seperti itu, hanya doa buat pengubat hati, agar perjalanan selamat ke tempat yang ditujui.
.
Aisyah sampai di Masjidilharam hampir waktu Zohor. Sayu hiba bila terpandang Masjid yang mulia ini. Terus rasa hilang penat perjalanan jauh malam tadi. Terbayang kaabah di dalamnya. Labbaikallah humma labbaik!. Masjid ini sangat cantik dengan warna kelabu kehitaman. Ianya juga besar dan ada 3 tingkat. Aisyah terus masuk ke pintu yang menuju ke tingkat 2. Kami sedia maklum bahawa tingkat 1 penuh dengan orang-orang yang tawaf, jadi kami terus masuk ke tingkat 2 untuk mencari ruang. Masjid itu besar dan di penuhi manusia. Aisyah tercari-cari di manakah Kaabah untuk Aisyah laksanakan tawaf selamat datang dan juga Saie' di Safa dan Marwa. Tiba-tiba, kami di tegur oleh seorang pemuda Arab. Mungkin dia merasakan kami sampai di situ kali pertama. Dengan murah hati, beliau menunjukkan kami tempat tawaf dan tempat Saie. Kali pertama terpandang Kaabah, merupakan satu pengalaman menarik yang Aisyah tak pernah lupa setelah menunaikan haji. Sewaktu memandang Kaabah itu, tiba-tiba perasaan menjadi sayu dan hening. Tiba-tiba, kita merasakan seperti Kaabah itu berinteraksi dengan kita. Kita merasakan bahawa Kaabah itu 'alive', tidak seperti bangunan-bangunan batu yang lain. Kita merasakan betapa ianya mengalu-alukan kedatangan kita. Dan kita merasakan kasih sayang Allah yang maha Besar, dan kita merasakan betapa kerdilnya diri kita.
.
Memandang Kaabah berjam-jam, tidak menjemukan. Kotak hitam ini, yang di sebuat Baitullah, sangat istimewa. Disekeliling masjidil haram di kelilingi bangunan hotel yang hebat dan tinggi melangit, tetapi tidak lebih dari bangunan batu yang mati dan tidak bermakna apa-apa. tetapi, apabila memandang Kaabah, kita rasa seperti kita memandang sesuatu yang sangat istimewa, sehingga mata tak mahu lari darinya.
.
Di atas Kaabah, (di langit? di arasy? waulahualam) ,terdapatnya Baitul makmur, di mana 70,000 malaikat melaksanakan tawaf di Baitul Makmur setiap detik dan setiap malaikat hanya boleh tawaf di Baitul Makmur sekali sahaja. Betapa besarnya kerajaan Allah. Syukur juga kita di muka bumi ini boleh melaksanakan tawaf beberapa kali sepanjang hidup kita. Aisyah dan suami melaksanakan tawaf di tingkat 2. Manusia di tingkat 1 (berdekatan dengan Kaabah) sangat ramai. Tetapi, apabila tawaf di tingkat 2, jarak perjalanan tawaf menjadi jauh berkali ganda. Tempoh bertawaf juga jadi semakin panjang. Memang ibadah tawaf itu memenatkan, tapi kami laksanakan kerana Allah redha dengan amalan tersebut dan kami melaksanakan perintah yang Allah telah tetapkan. Allah yang maha mengetahui dan maha bijaksana, tidak sekali-kali akan menetapkan sesuatu dengan sia-sia. Kami berdoa dan berzikir sepanjang melaksanakan ibadah tawaf tersebut. Selesai bertawaf, kami minum air zam-zam dan berdoa agar di beri kesihatan yang baik. Air zam-zam mudah di perolehi di dalam masjidil Haram. Ianya di sediakan di merata tempat. Setelah itu, kami melaksanakan solat sunat dua rakaat sesuai dengan ajaran nabi kita Muhammad saw. Kami berdoa agar amalan kami diterima Allah.
.
Selepas berehat seketika, Aisyah dan suami menuju ke Safa dan Marwa, yang juga terletak di dalam kawasan masjidil haram itu. Kami melaksanakan Saie, berjalan dari bukit Safa ke bukit Marwa yang hanya beberapa meter dari tempat tawaf tadi. Ianya juga dalam bangunan dan umpama lorong besar yang di khususkan untuk ibadah tersebut. Ada kipas angin di merata tempat. Ribuan manusia juga di sana-sini. Masjidil haram sangat sibuk dan sangat penuh dengan manusia, terutama pada musim haji. Di merata tempat, tak kira lelaki atau wanita masing-masing khusyuk berdoa dengan linangan air mata agar doanya di terima dan dosanya di ampunkan.
.
Ibadah Saie ini adalah berkaitan dengan Hajr (isteri nabi Ibrahim) yang ditinggalkan suaminya di padang pasir. Di bukit Safa dan Marwa, di sinilah beliau berlari-lari anak dari satu bukit ke satu bukit yang lain untuk mencari air bagi anaknya yang hampir mati akibat kehausan yang amat sangat. Bayangkan lah, di padang pasir yang tandus itu, yang tiada air itu, yang tiada manusia itu, hanya ada dia dan anaknya Ismail, dia berlari ke sana-sini dengan penuh pengharapan untuk mencari air bagi anaknya. Hajar yakin, bahawa Allah akan menolongnya dan tidak pernah sekali-kali akan mensia-siakannya. Sifat tawakkal yang ada pada Hajar ini, sangat patut kita contohi. Disebabkan Allah redha dan gembira dengan tindakannya berlari anak dari Safa dan Marwa sebanyak 7 kali, maka, kita semua umat Islam wajib melaksanakan ibadah tersebut dalam hidup kita melalui ibadah haji.
.
Keyakinan yang mantap, bahawa Allah akan menolong kita dalam setiap ujian yang kita lalui adalah sangat penting untuk menguatkan jati diri kita dalam menempuhi setiap ujian yang kita lalui. Apabila kita yakin, bahawa Allah ada bersama dengan kita dan Dia akan menolong kita, maka, tiada apa yang patut kita khuatirkan lagi.
.
Rasanya, sesiapa pun di antara kita tidak pernah berada di situasi segenting itu. Masing-masing ada tempat tinggal yang selesa, air minuman yang banyak dan mencukupi, anak yang sihat, suami yang ada di sisi, kenderaan yang boleh membawa kita ke mana-mana dan kehidupan yang selesa. Kadang kala kita di uji dengan anak, di uji dengan harta, di uji dengan ketakutan, di uji dengan kegelisahan, di uji dengan keluarga, rakan taulan dan sebagainya, tetapi tawakal kita kadangkala sangat sedikit. Kita rasa risau melampau dan hilang arah. Walhal, jika kita berada pada keadaan Hajar ini, entah bagaimana agaknya panik nya keadaan kita. Dengan suami tiada di sisi, dengan tiada kenderaan, dengan tiada rumah, dengan tiada minuman, denga anak yang hampir pengsan kerana kehausan, tapi beliau tabahkan hati untuk menghadapi ujian, kerana beliau yakin Allah lah sumber pertolongan. Dan bagi orang-orang yang bertawakkal kepada Allah, maka Allah pun bersifat lembut kepadanya. Allah keluarkan mata air dari hentakan kaki Ismail yang keletihan dan di situlah punca air zam-zam yang dapat kita nikmati hingga ke hari ini. Keajaiban dari Allah akan datang, sebagai bantuan kepada orang-orang yang yakin akan bantuannya. Yakinlah bahawa pertolongan Allah itu dekat, dan Allah yang maha penyayang sekali-kali tidak akan membiarkan kita keseorangan.
.
Aisyah melaksanakan Haji Ifrad kerana kedatangan Aisyah ke Mekah sangat dekat dengan waktu haji. Sehari selepas itu, kami bertolak ke Mina untuk bermalam di Mina. Kami di bawa menaiki bas ke khemah kami di Mina. Lokasi Mina dengan hotel yang Aisyah duduki tidak begitu jauh, dan sesuai untuk berjalan kaki. Di Mina, semua jemaah haji di tempatkan di dalam khemah besar yang muat kira-kira 40 orang. Kami di bekalkan dengan sleeping bag dan kami tidur sangat rapat antara satu sama lain. Kami di minta membawa makanan untuk 3 hari. Aisyah membeli roti, cheese, susu dan sedikit buah-buahan untuk perbekalan. Di khemah besar ini, ada lampu dan air-cond. Tiada ritual khusus di Mina, kami menghabiskan masa dengan melaksanakan solat, berzikir, berdoa dan membaca al-qur'an secara bersendirian.
.
Sewaktu di Mina, hujan turun dengan sangat lebat pada waktu tengahari. Syukur juga kerana dengan kedatangan hujan, membuatkan kami rasa lebih selesa berada di dalam khemah. Kerana cuaca di negara itu memang panas, dan keadaan yang terpaksa berhimpit-himpit menjadikan kami berasa tidak begitu selesa. Tetapi, apabila hujan turun, debu pun menjadi kurang dan udara pun bersih dan sungguh nyaman. Setelah hujan berhenti, Aisyah dan suami mengambil peluang berjalan-jalan di sekitar khemah. Terdapat ribuan khemah persendirian di sekeliling bukit di Mina. Ada yang membawa anak kecil dan tidur di khemah yang sungguh kecil. Mereka juga tiada kemudahan tandas. Syukur juga, walau kami tidur di khemah, namun ianya jauh lebih selesa berbanding dengan orang-orang yang terpaksa tidur di atas tanah dengan khemah kecil mereka, dan di kongsi dengan beberapa keluarga.
.
Keesokkannya, kami akan ke Arafah. Arafah adalah kemuncak ibadah haji. Jemaah haji perlu berada seketika (wukuf) di Arafah untuk sebagai syarat haji yang mesti di patuhi. Sekiranya kita tidak berada di waktu wukuf di Arafah (iaitu bermula dari selepas zohor hingga sebelum maghrib), maka hajinya adalah tidak sah.
.
Hari Arafah adalah hari yang sangat penting bagi Jemaah haji. 'It is a big day'. Pada hari Arafah ini, Allah sangat gembira dan berbangga dengan para malaikat dengan berkumpulnya orang-orang yang ramai di padang Arafah. Allah merasa gembira melihat hambanya yang datang berkumpul di Arafah dengan keadaan yang kusut masai dan berdebu (seperti mana yang tercatat dalam hadis sahih). Hadis itu sangat dekat di hati kami, kerana sebagai jemaah haji yang berada di Arafah, kami berasa sangat terharu apabila Allah sangat gembira dengan kedatangan kami (melalui hadis itu) walaupun keadaan kami kotor dan berdebu. Bayangkan lah, jika tetamu kita yang datang ke rumah kita adalah orang kaya yang bergaya, tentu kita rasa gembira. Tetapi Allah yang Maha adil tidak memandang rupa, sangat berbangga dengan hambanya yang berdebu ini, yang datang dari seluruh pelusuk dunia untuk berkumpul di bumi Arafah ini bagi melaksanakan ibadah haji. Dalam hadis sahih yang lain, ada di sebutkan bahawa Allah mengampuni segala dosa orang yang berada di Arafah pada waktu wukuf setiap tahun.
.
Kami ke Arafah dengan menaiki bas. Alhamdulillah perjalanan bergerak lancar. Di Arafah, kami tiba kira-kira jam 10 pagi. Di Arafah, kami masing-masing mendiamkan diri dan tidak banyak bercakap. Di waktu wukuf ini adalah waktu terbaik untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah.
.
Di Arafah, kami ditempatkan di khemah yang berlantaikan tanah dan atapnya adalah kain. Ianya umpama khemah yang asal boleh. Tiada kipas angin, dan cuacanya panas. Dalam keadaan yang bersesak-sesak, memang meletihkan. Semua orang berhadapan dengan situasi yang sama dan kami perlu bersabar.
.
Setelah sampai waktu maghrib, dan waktu wukuf telah tamat, kami bergerak ke Muzdalifah dengan menaiki bas yang di sediakan. Jarak antara Mina ke Arafah dan ke Muzdalifah tidak begitu jauh. Syukur juga perjalanan di atur dengan baik dan tiada masalah kesesakan. Semua jemaah dapat tiba dengan selamat dengan izin Allah. Kami akan menunaikan solat maghrib dan isya di Muzdalifah, mengutip batu untuk melontar dan akan bermalam di Muzdalifah.
.
Apabila Aisyah sampai di Muzdalifah, Aisyah terpana seketika. Di tempat yang di umpamakan padang pasir itu, jutaan manusia berbaring dengan sleeping bag masing-masing, berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit. Dari hotel 3 bintang di Madinah, ke hotel 1 bintang di Mekah, kemudiannya di khemah besar di Mina, dan seterusnya di khemah hampir roboh di Arafah, kini kami berada di lokasi yang sangat menarik di mana kami akan bermalam di tanah lapang yang luas terbentang. Ini adalah satu pengalama yang tidak mungkin dapat di lupakan. Keadaan kami betul-betul seperti orang-orang pelarian palestin yang tidur beramai-ramai di tanah lapang dengan beg masing-masing. Tiada dinding memisahkan lelaki atau perempuan. Masing-masing tidur bergelimpangan di sana-sini. Pada pendapat Aisyah, Allah taala mungkin mahukan kita merasakan kehidupan orang yang susah, miskin dan melarat (homeless). Jutaan manusia bermalam di Muzdalifah dan kami juga mengutip batu untuk tujuan melontar Jamrah Aqabah pada hari esok.
.
Baru beberapa jam melelapkan mata di Muzdalifah, jemaah kami di minta bergerak semua ke Mina untuk melontar Jamrah. Dengan tidur tidak sampai 3 jam, kami bergerak menaikai bas semua menuju ke Mina. Setelah sampai di Mina, kami terus berjalan kaki menuju ke Jamrah Aqabah. Walau pun perjalanan ini sungguh memenatkan, tapi kami tetap kuatkan semangat untuk pergi melontar di waktu tersebut, kerana selepas itu kami akan pergi ke Masjidil Haram untuk melaksanakan tawaf ifadah (tawaf haji).
.
Ribuan manusia berjalan menuju ke Jamrah (tempat melontar). Ianya umpama satu kompleks yang sangat besar yang bertingkat-tingkat dan mempunyai banyak jalan masuk. Kami melontar 7 batu di Jamrah Aqabah pada hari tersebut. Hari itu adalah Hari raya Haji. Sesudah melontar, kami pulang ke hotel sebentar untuk membersihkan diri dan bergunting. Kemudian, kami berkejar untuk ke Masjidil Haram bagi menunaikan tawaf ifadah.
.
Jalan raya yang menuju ke Masjidil Haram sesak teruk. Jemaah haji berkejaran untuk ke Masjidil Haram dari tempat melontar, menjadikan jalan raya mengalami kesesakan yang tak pernah di lihat seumur hidup Aisyah. Tambang ke Masjidil haram tiba-tiba naik hingga 50 riyal setiap orang. Ada yang meminta sehingga 100 riyal setiap orang. Apa-apa pun, jika kita menaiki apa-apa kenderaan sekalipun, jalan kaki kebih cepat berbanding naik kenderaan. Aisyah dan suami membuat keputusan untuk berjalan kaki ke Masjidil haram. Syukur, kami di beri kekuatan oleh Allah untuk berjalan sejauh itu. Kami berjalan bersama-sama jemaah haji yang lain.
.
Apabila sampai di Masjidil haram, ribuan jemaah memenuhi ruang tawaf. Kali ini, kami melaksanakan tawaf di tingkat 1 yang berdekatan dengan Kaabah. Manusia sangat ramai pada hari tersebut. Kami bersyukur kerana dapat melaksanakan tawaf dengan baik. Dengan terlaksananya tawaf ifadah, maka tamatlah waktu ihram kami. Ibadah yang belum selesai adalah melontar Jamrah pada hari ke 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Setelah selesai melaksanakan tawaf ifadah, solat di Masjidil haram dan pulang semula ke hotel untuk makan. Pada petang itu juga kami berjalan kaki semula ke Mina untuk bermalam dan melontar pada hari ke 11, 12 dan 13. Pada hari-hari tasyrik tersebut kami akan melontar ke tiga-tiga jamrah, iaitu Jumrotul Ula, Wusto dan Aqabah. Selepas itu, tamatlah dan selesailah ibadah haji kami.
.
Ibadah umrah pula di kerjakan setelah selesai ibadah haji (bagi yang membuat haji Ifrad). Pergi ke Tanaim atau Jaranah untuk berniat umrah, dan kemudiannya pulang semula ke Masjidil haram untuk tawaf dan saie dan kemudiannya bergunting. Setelah bergunting, selesailah ibadah umrah tersebut.
.
Setelah melontar pada hari ke 13 dzul hijjah, kami hanya mempunyai satu hari saja lagi untuk pulang. Rasa lega dan bersyukur kerana telah selesai melaksanakan ibadah yang merupakan satu rukun bagi orang islam, dan rasa sedih kerana akan meninggalkan tempat ibadah yang mulia ini. Walau apa pun, semuanya adalah satu perjalanan yang sentiasa terpahat di sanubari.
.
Ibadah haji adalah ibadah di mana Allah memberi peluang untuk mengampunkan dosa-dosa kita dan mendidik kita erti kesabaran, tawakkal dan ketaatan. Sebelum bertolak ke Mekah, Aisyah banyak mendengar cerita-cerita pelik di Mekah. Ada yang tak nampak Kaabah kerana banyak dosa terhadap suami, ada yang sesat, ada yang nampak itu dan ini dan macam-macam benda pelik lagi. Pada Aisyah, elok lah kita hentikan cerita-cerita pelik itu, kerana menyebabkan orang rasa takut hendak pergi haji. Aisyah pun merasa sangat suspen, ye la kita nie banyak dosa, bimbang juga jika 'terkena' apa-apa benda ganjil di Mekah nanti. Apa pun, dari pengalaman Aisyah sendiri, cerita-cerita ganjil itu mungkin tidak benar, dan juga mungkin rekaan semata-mata. Waulahualam. Kalaupun ada orang yang sesat sewaktu di Mekah, tidak lah perlu kita pelik kan (seolah-olah orang itu banyak dosa, sebab tu dia sesat di mekah), kerana, dalam keadaan jutaan umat manusia, di tempat yang kita tidak pernah pergi seumur hidup kita, dan gunung ganang di sini sana, memang ada kebarang kalian jika ada orang yang tersesat. Itu adalah perkara yang sangat logik. Masakan kita tak pernah tersesat di Kuala Lumpur walhal kita dah tinggal di Kuala Lumpur bertahun-tahun. Jadi, kalau ada orang sesat tu, tak payah lah kita nak kaitkan mereka dengan banyak dosa dan sebagainya, kerana mungkin tanggapan serong kita tu telah menyebabkan kita dapat dosa pula.
.
Tiada apa yang kita perlu takut kan. Tujuan kita ke Mekah, salah satunya adalah untuk menunaikan ibadah yang Allah wajibkan dan supaya Allah ampuni dosa-dosa kita. Mudah-mudahan, Allah yang maha penyayang akan memudahkan urusan kita pergi dan balik dan sepanjalang melaksanakan ibadah di sana.
.
Berdoalah agar Allah beri kita kesihatan yang baik, dan di tunjukkan segala perkara yang baik-baik, jauh dari kesusahan dan kesesatan dalam pergerakan dan aktiviti haji kita dan semoga Allah menerima amalan kita.
Aishah,
BalasPadamSangat rindu Mekkah, tapinya, pengalaman Haji itu tentunya sangat lain dengan umrah yang penuh keselesaan. Moga haji Aishah dan suami mabrur, diterima Sang Pengasih itu.
Syukur!
Nur, InsyaAllah, semoga Allah akan sampaikan Nur di sana untuk Haji pula...terima kasih atas doa Nur. Semoga Allah menerima amalan kita.
BalasPadam